Kitab al-Azkar al-Muntakhabah min Kalaam Sayyid al-Abraar merupakan sebuah kitab yang terkenal karya al-Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) atau terkenal dengan julukan Imam al-Nawawi. Di kalangan masyarakat Islam kitab ini lebih dikenali dengan nama Kitab al-Azkar al-Nawawiyyah.
Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi rahimahullah menghimpunkan hadis-hadis yang menyebutkan doa-doa dan zikir-zikir daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Maka, kitab ini sangatlah bermanfaat bagi sesiapa yang mahu mengetahui dan mendalami doa-doa harian dan zikir-zikir harian yang terdapat dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berserta adab-adab dan etikanya.
Imam al-Nawawi mengatakan di dalam mukaddimah kitab al-Azkar-nya; “Bahwa sebaik-baik keadaan seorang hamba adalah di saat dia berzikir kepada Rabb-Nya, iaitu Rabb sekalian alam. Dia menyibukkan dirinya dengan zikir-zikir yang diriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, pemimpin seluruh Rasul. Para ulama telah menulis banyak kitab yang berkaitan dengan amalan seharian, doa-doa, dan zikir-zikir yang diketahui oleh mereka yang telah mengenal Allah Subhanahu wa Ta'ala. Namun semua itu terlalu panjang dengan banyaknya sanad dan pengulangan sehingga menjadikan orang yang ingin mempelajarinya merasa jemu. Maka di sini, saya berhasrat untuk memudahkan hal tersebut bagi yang menginginkan. Kemudian saya menghimpunkan kitab ini sebagai suatu ringkasan terhadap tujuan-tujuan yang saya sebutkan di atas, dan bukan untuk mengetahui sanad-sanadnya, kerana kebanyakan mereka tidak menyukainya kecuali sedikit. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk mengetahui zikir-zikir tersebut, lalu mengamalkannya. Kemudian saya menjelaskan hal-hal yang kelihatan samar bagi mereka yang ingin mencari petunjuk, dan insya-Allah sebagai ganti dari sanad-sanad yang tidak saya sertakan tersebut, saya akan menyertakan hal yang lebih penting lagi, iaitu menjelaskan status hadis tersebut sama ada sahih, hasan, dha'if, atau mungkar. Ini adalah yang lebih diperlukan oleh semua orang kecuali sedikit dari kalangan ahli hadis. Ini adalah suatu hal penting yang wajib untuk dipegang teguh, lagi diperlukan oleh para pelajar dari kalangan penghafiz, demikian juga dengan para imam, saya juga menyertakannya dengan beberapa dasar penting ilmu hadis, perincian hukum-hakam fiqh, kaedah-kaedah penting, galakkan, dan etika atau adab-adab yang penting yang peru diketahui oleh mereka yang mendalami tasawuf. Saya akan menjelaskan semua itu dengan bahasa yang mudah difahami oleh kalangan awam dan kaum terpelajar ”.
Isi Kandungan al-Azkar;
Kitab ini secara umumnya, dibahagikan mengikut bab-bab tertentu mengenai doa-doa, zikir-zikir, dan adab-adab tertentu dalam Islam. Di antara bab-bab tersebut adalah seperti:
1. Mukaddimah, keutamaan dan kedudukan zikir, serta adab-adab asas tentang zikir dan doa.
2. Keutamaan dzikir.
3. Doa-doa seharian.
4. Adab-adab terhadap al-Qur'an.
5. Bab Pujian terhadap Allah.
6. Selawat ke Atas Nabi.
7. Zikir-zikir dan Doa-doa untuk hal-hal khusus tertentu.
8. Zikir-zikir yang dibaca ketika solat, baik solat wajib ataupun yang sunnah.
9. Zikir-zikir tentang Ramadhan, dan bulan-bulan tertentu.
10. Zikir-zikir yang berkaitan dengan haji.
11. Zikir-zikir yang berkaitan dengan jihad.
12. Zikir-zikir ketika makan dan minum.
13. Zikir dan adab-adab ketika bersin, serta sunnah mendoakan keselamatan.
14. Zikir-zikir yang berkaitan dengan pernikahan.
15. Bab nama dan kuniah (gelaran).
16. Zikir-zikir yang bersifat umum.
17. Bab menjaga lisan.
18. Adab-adab berdoa.
19. Bab Istighfar.
Dan banyak lagi sub-perbahasan yang lainnya yang mana di dalamnya menghimpunkan berbagai jenis doa dan zikir-zikir yang diambil dari hadis-hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam.